Wednesday, May 13, 2009

PENGENALAN

PENGENALAN






Rumah Anak Kesayangan adalah sebuah rumah kebajikan yang telah dibuka pada awal 2008 dibawah pendaftaran PG0225608-X. Rumah ini menempatkan seramai 30 orang anak-anak yatim, fakir miskin dan golongan yang layak menerima zakat (asnaf zakat).Rumah Anak Kesayangan bermatlamat tinggi untuk melahirkan masyarakat yang berkasih sayang dan aman harmoni, yang mengutamakan kepentingan orang lain berbanding diri sendiri, yang didalamnya terjalin hubungan rapat antara golongan kaya dan miskin iaitu dengan menjadikan kebajikan sebagai satu agenda utama masyarakat untuk mencapai tahap hidup yang bahagia di dunia dan di akhirat.Golongan kaya perlu berperanan penting di tengah masyarakat dengan menyelesaikan tuntutan keperluan manusia yang asasi. Merekalah agen pembangunan bagi masyarakat yang aman damai dan harmoni. Orang kaya berfungsi sebagai ‘bank kepada masyarakat’ dan mereka mampu untuk menyelesaikan masalah orang-orang miskin dan yang memerlukan. Oleh kerana dari sifat-sifat pemurah terutamanya daripada orang-orang kaya dan berada, masyarakat Islam terbela. Masyarakat Islam cepat maju, kasih sayang terjalin sesama insan. Hubungan dengan yang kaya dan yang miskin rapat. Tiada jurang perbezaan sesama insan dan tiada lagi jenayah serta gejala sosial berlaku akibat dari tekanan dan kesusahan hidup. Akhirnya wujudlah perpaduan dan kerjasama. Masalah dalam masyarakat dapat di selesaikan kesan dari pemurahnya orang kaya dan kesan daripada tawadhuknya mereka. Inilah masyarakat yang diidam-idamkan oleh semua bangsa dan agama.






JUSTIFIKASI






Sejarah telah membuktikan, Rasulullah s.a.w. adalah anak yatim. Malahan kebanyakan orang Tuhan seperti Rasul-Rasul, Nabi-Nabi sejak kecil lagi dipisahkan daripada ibu dan ayahnya kerana orang yang dibesarkan sepenuhnya oleh ibu dan bapa selalunya lebih bersandar kepada mereka. Maka, Tuhan pisahkan supaya kuat bersandar kepada Tuhan. Kalaupun ibu ayahnya tidak meninggal dunia seperti sejarah Nabi Yusuf tetapi dia tetap terpisah dari ibu dan ayahnya selama 40 tahun. Orang-orang bertaqwa yang bukan Rasul pun seperti Imam Syafie telah terpisah dari ibu dan ayahnya semenjak kecil. Begitu juga Imam Ghazali juga terpisah dengan ibu dan ayahnya. Oleh itu terpisah dengan ibu dan ayah bukan satu penghinaan tetapi Tuhan hendak muliakan.






MENGAPA RUMAH ANAK KESAYANGAN?








RUMAH merupakan keperluan asas manusia sebagai tempat perlindungan dan mendapatkan kasih sayang. Semoga mengalir rahmat dan keberkatan dalam kehidupan agar bahagia dunia akhirat.
ANAK merupakan anugerah Tuhan kepada setiap ibu bapa. Ibu bapa bertanggung jawab mencorak kehidupan mereka untuk menjadi anak yang soleh, solehah ataupun menjadi anak yang derhaka kepada ibu bapa, agama, bangsa dan negara. Oleh itu mereka perlu dididik dengan keselamatan dan kebenaran. Walau bagaimanapun sudah menjadi lumrah dalam kehidupan di dunia ini terdapat ibu bapa yang pergi dahulu tanpa sempat menunaikan tanggungjawab tersebut. Terdapat pula ibu bapa yang kurang / tidak berkemampuan untuk menunaikan amanah ini. Maka Rumah Anak Kesayangan berusaha untuk membantu dalam melaksanakan tanggung jawab tersebut.
KESAYANGAN: Anak-anak yatim dan fakir miskin serta anak-anak yang layak menerima zakat serta bantuan adalah anak-anak kesayangan Allah dan Rasul. Maka sesiapa yang mengasihi dan membela mereka mendapat ganjaran dan keberkatan besar disisi Allah dan Rasul. Semoga anak-anak ini disayangi oleh setiap lapisan masyarakat yang prihatin terhadap nasib orang lain. Mereka perlukan perhatian, kasih sayang dan sewajarnya dianggap sebagai anak angkat dengan diberikan kasih sayang dan pembelaan.




PERKHIDMATAN YANG DISEDIAKAN






Di samping menyediakan tempat tinggal untuk anak-anak kesayangan, rumah ini juga:
Menyalurkan segala sumbangan yang diterima bukan sekadar untuk anak-anak kurang bernasib baik yang tinggal di asrama Rumah Anak Kesayangan tetapi turut diberikan kepada anak-anak yatim dan asnaf zakat yang tinggal bersama keluarga mereka.
Melatih anak-anak untuk menjadi penghibur kepada anak-anak yang senasib dengannya iaitu melalui aktiviti-aktiviti lawatan ke asrama-asrama anak-anak yatim yang lain dan mengadakan persembahan dan program motivasi.

Menubuhkan kelab Remaja Putera/Puteri Harapan bagi anak-anak tahap menengah dan kelab Anak-anak Kesayanganku bagi anak-anak di peringkat kanak-kanak.

Menyediakan khidmat kaunseling kepada ibu bapa / penjaga / waris yang berhadapan dengan masalah anak-anak remaja.
Menyediakan aktiviti-aktiviti kemahiran seperti IT, penulisan, jahitan, masakan, kebudayaan dan motivasi demi melahirkan peribadi anak-anak yang pandai berdikari.